Wednesday, 11 April 2012

Malu terbit dari Iman

 Assalamualaikum…
            Entri kali ini membincangkan tentang sifat malu.  Malu yang dimaksudkan di sini adalah malu untuk melakukan perkara dosa atau perkara yang menjatuhkan maruah.  Antara sebab yang membantu menyuburkan perkara dosa dan maksiat ialah kurangnya rasa malu pada diri seseorang itu.  Sifat malu menghalang seseorang Muslim daripada melakukan dosa dan pada masa yang sama ia menjadi pendorong untuk dirinya memperbaiki amalan dengan menambah kebaikan.  Berkata para ulamak: “ hakikat malu itu ialah satu akhlak yang membawa kepada sikap meninggalkan yang buruk dan menghalang diri daripada mengabaikan hak kepada sepatutnya.” Imam An-Nawawi telah menyebut 4 hadis utama yang berkaitan dengan sifat malu dalam kitab Riyadh al-Solihin, iaitu:
1.      Hadis pertama:
Daripada Ibn Umar r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w melewati seorang sahabat Ansar yang sedang menasihati saudaranya kerana pemalu, kemudian Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “ biarkanlah ia begitu, sesungguhnya malu itu sebahagian daripada Iman.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim).    
Walaupun sahabat itu menasihati saudaranya supaya mengurangkan rasa malu tetapi Rasulullah telah menengahnya dengan pesanan yang ringkas: “malu itu sebahagian daripada Iman.”
2.      Hadis kedua:
Daripada Imran bin Hushain r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “malu itu mendatangkan kebaikan semata-mata.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Malu itu tidak akan mendatangkan kecuali perkara yang baik.  Malu yang berasaskan keimanan pasti akan membawa kebaikan kepada pemiliknya.  Malu kepada Allah pasti akan menjadikan seseorang Muslim itu berusaha memperbaiki amalan dan meninggalkan dosa.  Malu kepada manusia pasti akan memelihara akhlaknya daripada melakukan perkara yang menyakiti mereka atau menjatuhkan maruah dirinya.
3.      Hadis ketiga:
Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “iman itu mempunyai enam puluh lebih @ tujuh puluh lebih cabang.  Yang paling utama adalah ucapan  “lailaha illallah” dan yang paling rendah adalah membuang sesuatu gangguan dari jalan.  Dan malu  adalah sebahagian daripada Iman.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Hal ini memberikan kefahaman kepada kita bahawa malu itu sendiri ialah satu amalan yang membawa kepada iman yang kuat.  Ia bukan semata-mata  sifat yang membawa amalan, malah ia sendiri  adalah amalan yang berdiri dengan sendirinya.
4.      Hadis keempat:
Daripada Abu Said Al-Khudri, beliau berkata, “Rasulullah s.a.w adalah orang yang sangat pemalu melebihi pemalunya seorang gadis pingitan.  Apabila Baginda melihat sesuatu yang tidak disukainya maka kami dapat mengetahuinya melalui riak muka Baginda.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Lihatlah betapa Rasulullah s.a.w menghiasi dirinya dengan sifat malu yang tinggi sehingga begitu sekali sahabatnya membuat perumpamaan.

Semoga kita dikurniakan sifat malu yang membawa kepada keimanan – meninggalkan maksiat dan menambahkan ketaatan kepada Allah s.w.t.  Itulah yang akan membantu kita di akhirat kelak …Insyaallah…Beruntunglah orang – orang yang malu kerana Allah.
-Artikel ini dicopy, diedit & dipaste dari majalah Solusi isu no.5…(~.^) 

No comments:

Post a Comment

(tulisan gerak2)

snow



~Aktiviti Berjalan~



Selamat Datang ke Blog AQSA UniSZA. Kami ingin mengucapkan selamat menghadapai peperiksaan akhir semester, bittaufiq wannajah! شكرًا . :)