Friday 23 May 2014

~FINAL EXAM~

بسم الله الرحمن الرحيم




Selamat menghadapi peperiksaan akhir semester bagi mahasiswa/ mahasiswi yang bakal menghadapi peperiksaan akhir semester yang akan bermula pada 25/6/2014 tidak lama lagi. Moga apa yang telah dipelajari sepanjang semester ini akan dikongsi dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Jangan lupa untuk betulkan niat kita semula bahawa, " Belajar kerana Allah, bukannya kerana Exam".. Exam itu hanya sampingan ye.. :) 
Apapun, semoga berjaya dan semoga mendapat keputusan yang cemerlang. Jangan lupa bawa alat-alat dan kelengkapan yang sepatutnya dibawa ketika masuk ke dalam dewan peperiksaan. 
1) slip peperiksaan
2) kad pengenalan
3) kad matrik
4) pensel 2B
5) pen mata bola
6) lain-lain yang berkenaan

"Bila Kamu Tidak Tahan Lelahnya Belajar, Maka Kamu Akan Tanggung Peritnya Kebodohan."
"Selamat Menuntut Ilmu."










ANNUAL DINNER 2014

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Syukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya, majlis Annual Dinner AQSA 2014 telah berjaya dijalankan pada 20 Mac 2014 yg lalu . J majlis Annual Dinner yang serba ringkas tetapi mendapat sambutan pelajar AQSA sendiri telah membuatkan majlis diraikan dengan meriah sekali.

حبل من الله وحبل من الناس
Ertinya, Jaga Hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita sesama manusia.

Tujuan Majlis ini diadakan adalah untuk meraikan mahasiswa/ wi diploma semester 6 yang telah pun menamatkan pengajian mereka pada bulan Mac yang lalu di samping untuk mengeratkan lagi ukhwah islamiyah sesama warga AQSA.

Alhamdulillah, dengan hadirnya tetamu jemputan ( VIP ) yang terdiri daripada  Ketua Pusat Pengajian dan pensyarah-pensyarah dari Jabatan AQSA majlis ini berjalan dengan lancar dan bertambah ceria. Diharap program seperti ini dapat mengeratkan ukhwah silaturrahim sesama warga AQSA dan pensyarah-pensyarah. 



Friday 9 May 2014

ANNUAL GRAND MEETING 2014

Alhamdulillah.. pada tarikh 20 Febuari 2014 , Persatuan Mahasiswa Al-quran dan As-sunnah ( AQSA ) telah mengadakan ANNUAL GRAND MEETING ( AGM ) yang mana tujuan AGM ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada :

1) Kepimpinan AQSA 2013 membuat pembentangan lajnah masing2 .
2) Peletakan jawatan bagi Kepimpinan AQSA 2013, sekaligus diadakan perlantikan baru serta perasmian bagi Kepimpinan AQSA 2014 .

Setinggi-tinggi penghargaan ucapan tahniah dan terima kasih kepada saf kepimpinan AQSA 2013 kerana berjaya memegang amanah serta jalankan tanggungjawab yang diberi dengan baik sekali. Moga segala jasa mantan2 sekalian dibalas oleh Allah kelak.

Melalui majlis ini, diharap semua Saf Kepimpinan yang baru pula dapat menjalankan tanggungjawab yang diberikan oleh ahli persatuan dengan baik dan amanah. Ingatlah , jangan sesekali menganggap bahawa amanah yang telah diterima akan membebankan diri malah anggaplah ia sebagai pemudah cara untuk masuk ke syurga . Hal ini kerana Allah telah berfirman didalam ayat suciNya :

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ  . . . .  (٢٨٦
( Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya . . . . ) [ 2 : 286 ]


Maka dengan itu, jalankanlah amanah dengan sebaiknya.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً  . . . .(٣٠)
( Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". . . . ) [ 2 : 30 ]








Pembentangan setiap lajnah

Thursday 3 October 2013

Percutian yang bermanfaat ^^

                Bismillahirahmanirahim.. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat..

                Alhamdulillah a'la kulli hal,,tamatnya sudah kehidupan sepanjang satu semester ini. Suka, duka, sulit, kusut dan semua rasa yang dirasai sepanjang semester ini lagi-lagi sepanjang waktu peperiksaan akhir bermula. Namun haruslah kita bersyukur kerana setiap rasa yang dikurniakan itu pasti ada kemanisannya. Sepanjang cuti semester yang bakal tiba ini haruslah diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat.

Masa adalah salah sangat penting dalam kehidupan manusia. Masa yang telah lepas tidak boleh diundur kembali. Manusia akan didatangi oleh masa sibuk dan juga masa lapang. Apabila datangnya masa sibuk barulah seseorang itu akan merindui nikmat masa lapang. Ia bergantung kepada diri kita bagaimana kita menggunakan masa lapang dalam kehidupan kita supaya ia boleh memberi manfaat kepada diri. Jika kita mensia-siakan masa lapang yang ada dengan perkara yang tidak berfaedah, ia boleh merugikan diri kita sendiri.Sebagai seorang pelajar, kita akan berhadapan dengan masa sibuk seperti menghadiri kelas, melakukan tugasan, menyiapkan projek, ujian dan peperiksaan serta banyak lagi. Cuti pula adalah nikmat masa lapang yang sangat disukai oleh seorang pelajar. Ini kerana kita akan dapat berehat seketika dari kepenatan dan stress belajar.

Hargai Masa Yang Ada
Kita perlulah bijak menghargai setiap masa yang ada dalam hidup kita. Apabila berada di masa lapang kita perlu sentiasa ingat yang masa lapang ini tidak akan kekal lama. Jika kita tidak pandai menghargai masa lapang yang datang, nanti kita juga yang akan menyesal bila datangnya masa sibuk. Cuba renungkan kembali masa yang telah kita gunakan dalam kehidupan seharian. Bagaimanakah cara kita menghabiskan waktu cuti? Adakah kita seorang yang pandai menghargai masa ataupun tidak? Hanya diri kita sendiri yang mampu menilainya.
Melakukan Perkara bermanfaat
Kita boleh melakukan apa sahaja aktiviti yang kita suka lakukan jika ada masa terluang. Ia terpulang kepada diri kita masing-masing bagaimana mahu menghabiskan masa yang ada. Jika kita mempunyai banyak masa terluang berusahalah untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh memberikan manfaat kepada diri kita seperti membaca buku dan al Quran, mendengar kuliah agama, membantu rakan-rakan dan banyak lagi. Tidak rugi melakukan perkara yang boleh memberi manfaat ini malah ilmu dalam diri kita juga boleh bertambah. Kita juga boleh mendapat banyak pahala.
Elakkan Membazir Masa
Kebanyakannya dari kita suka menghabiskan masa lapang di waktu cuti dengan menonton tv, bermain game, melayari internet dan banyak lagi. Aktiviti yang dilakukan ini tidak salah tapi jangan sampai berjam-jam ataupun berlarutan tidak tahu bila hendak berhenti. Kita perlu berhati-hati juga supaya tidak terlalai dengan aktiviti-aktiviti seharian ini. Kena pandai bahagikan masa juga supaya kita tidak terleka. Elakkan dari membazir masa dengan melakukan perkara yang tidak mendatangkan sebarang manfaat.
Setiap Orang Mempunyai Masa Yang Sama
Setiap orang mempunyai masa yang sama iaitu 24 jam sehari semalam. Tidak ada orang yang diberikan masa lebih atau kurang berbanding dengan orang lain. Apa yang membezakan setiap  orang adalah bagaimana cara mereka menguruskan masa dalam hidup mereka. Orang yang tidak pandai menguruskan masa akan selalu merasakan yang masa mereka tidak pernah cukup. Gunakan masa  lapang yang ada semasa cuti dengan sebaiknya untuk perkara-perkara yang baik.
Masa Yang Hilang Tidak Boleh Diganti
Masa yang telah berlalu akan tetap berlalu. Ini bermakna masa kita yang telah hilang tidak boleh diganti semula. Masa sentiasa bergerak dan tidak akan menunggu kita. Jika kita terleka maka banyak masa yang telah berlalu akan menjadi sia-sia saja. Bersyukurlah jika hari ini kita mempunyai banyak masa lapang, kerana nikmat masa lapang ini tidak akan datang selalu. Masa lapang waktu cuti kita hendaklah diuruskan dengan baik. Bukan selalu kan dapat cuti.
- -
Masa yang diberikan oleh Allah kepada kita adalah tidak ternilai harganya. Setiap detik masa adalah sangat berharga. Kita perlu menghargai setiap detik masa yang ada dalam hidup kita. Masa akan tetap berjalan walau apa pun yang berlaku. Masa tidak akan sesekali pernah menunggu kita. Kita yang perlu mengisi masa dengan segala amal kebaikan dan perkara yang bermanfaat.
Sebagai seorang pelajar, nikmat masa lapang tidak akan selalu hadir kepada kita. Hargai masa lapang yang hadir dalam hidup kita dengan melakukan perkara-perkara yang bermanfaat. Waktu cuti memang sangat menyeronokkan tapi jangan kita mudah terleka setiap kali waktu cuti. Jangan mensia-siakan waktu cuti tanpa arah tujuan. Gunakan masa cuti kita dengan sebaiknya. :)






Friday 13 September 2013

Muhasabah di lautan kehidupan..~

          Lautan kehidupan ini sememangnya luas. Allah rencanakan segala-galanya dengan begitu indah sekali. Pasir pantai setia menanti hempasan ombak tanpa keluhan. Lautan kehidupan yang terbentang luas di bawah langit biru pastinya mempunyai pelbagai gelora rasa di dalamnya. Sungguh, Allah yang mengawal segalanya. Allah maha Besar.!

          Kadang-kadang Allah biarkan lautan kehidupan kita bergelora dengan tenang. tanpa sebarang pusaran air yang berbahaya, tanpa gelora yang kuat. Berapa ramai antara kita yang ingat lima perkara sebelum datang lima perkara ketika lautan kehidupan bergelora dengan tenang dan damai? kita sering tidak menyedari tanda-tanda awal yang allah tunjukkan kepada kita sebelum tibanya gelora yang amat hebat. Ada kalanya allah turunkan hujan pada lautan kehidupan kita supaya kita sempat menyediakan benteng yang kukuh untuk menghadapi gelora yang hebat itu. Ataupun sempat untuk kita binakan tembok untuk menahan bah yang mungkin boleh meragut rasa dalam hidup kita. "Allah tidak kejam untuk tiba-tiba melepaskan ombak besar dalam kehidupan kita." Bukankah allah itu maha penyayang lagi maha pengasih.?

            Allah menghadirkan ombak dalam kehidupan kita atas pelbagai sebab. Kadang-kadang sebagai petunjuk dan iktibar kepada orang lain. Kadang-kadang sebagai hukuman kecil atas keterlanjuran kita ataupun sebagai petanda supaya tidak terus leka. Ada orang ombak gembira dalam kehidupannya lebih. Maka, bahagia selalulah orang itu. Ada orang pula ombak sedih dalam kehidupannya lebih maka berduka selalulah orang itu. Ada juga orang ombak kehidupannya seimbang maka seimbanglah naluri rasa orang itu. Akan tetapi bersyukur la dengan setiap dugaan dan cabaran yang diberikan kerana disebalik sesuatu yang terjadi itu pasti ada kemanisannya.

JIKA ANDA SEORANG.....

sebagai seorang anak..- ibu bapa anugerah yang paling indah dalam kehidupan seseorang anak. Samada mereka sentiasa disisi kita atau berjauhan ataupun sudah kembali pada yang maha esa, haruman kasih sayang mereka tiada bandingan. Segala keluh kesah mereka menghadapi gelora kehidupan dalam membesarkan kita tidak pernah kedengaran walau sedikit. Hadiahkan ombak rasa yang bahagia dan indah buat mereka. Walau jasa mereka tidak terbalas sekurang-kurangnya biarlah kehadiran kita disisi mereka melahirkan rasa yang enak-enak bukan rasa yang kelat-kelat buat mereka.

sebagai seorang teman.- Sedar atau tidak masa kita banyak dihabiskan bersama teman-teman. Maka, sudah tentu sedikit sebanyak pengaruh teman-teman amat beerti dalam lautan kehidupan kita. Kita sendiri turut menyumbang dalam alunan ombak kehidupan teman-teman kita. Justeru, bermuhasabahlah selalu. Adakah kita cukup baik untuk teman-teman kita.? adakah kita ini mengajak teman-teman kita ke arah kebaikan atau sebaliknya.? Jika kita ingin mengenali seseorang lihatlah dengan siapa orang itu berteman. Oleh itu jadilah teman yang baik. Jadilah teman yang menghadiahkan rasa yang manis-manis dalam lautan kehidupan orang lain.

kepada diri sendiri.- jadilah orang yang kental dalam mengharungi ombak lautan kehidupan. Apa-apa jua jenis gelora rasa yang menghempas di pantai kehidupan ataupun ombak rasa yang berpusar di tengah-tengah lautan kehidupan, jadilah insan yang meletakkan pergantungan kepada allah yang satu. Ujian gelora allah itu bersebab, ujian ombak allah itu berhikmah. Biar dalam melepasi badai di lautan kehidupan, kita terkadang makan hati, berulamkan jantung dan berkuahkan air mata, mohonlah agar allah permudahkan segalanya kerana Dialah pemegang mutlak hidup kita.!

# Hidup kita bukan sekadar menerima segala rasa daripada orang lain. Tetapi juga memberi segala rasa kepada orang lain untuk mendapatkan rasa dalam hidup. Bukankah "what we give, we get back.? Tepuk dada cuba rasa.!

Sunday 1 September 2013

Erti sebuah kemerdekaan

              Bismillahirahmanirahim.. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat..

            Alhamdulillah bersyukur kita kepada tuhan yang maha esa kerana sudah genap 57 tahun Negara kita Malaysia mencapai kemerdekaan dan sudah 57 tahun kita merasai nikmat keamanan tanpa sebarang gangguan. Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara. 



            Menyorot kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak 1511 hingga ke Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini telah mengalami 3 peringkat perjuangan. Peringkat pertama, secara militan atau gerila, perjuangan pondok yang dipelopori oleh golongan ulama dan kemudian golongan nasionalisma yang berjuang melalui mata pena. Ketiga-tiga kategori perjuangan ini berjalan berasingan sehinggalah pada cadangan untuk mengadakan Kongres Melayu pertama pada 1-4 Mac 1946 diadakan dan menyatukan ketiga-tiga kategori perjuangan ini dengan lebih tersusun dan teratur. Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.

            
           Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat Malaysia telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti kemerdekaan. Perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya rakyat menjadi semakin kukuh.

          sebagai seorang rakyat Malysia kita patut melahirkan rasa kesyukuran kerana mempunyai sebuah Negara yang masih aman dan damai tanpa sebarang peperangan sepertimana yang berlaku di Negara-Negara lain seperti palestin, syria dan mesir. Akan tetapi amat menyedihkan lagi apabila para syabab pada zaman ini sudah tidak memahami lagi tentang erti kemerdekaan dan kebebasan yang sebenar. Mereka semakin tidak menghargai dengan pengorbanan yang telah dilakukan oleh para mujahidin kita dahulu dalam menegakkan kebenaran. sebagai bukti hari kemerdekaan disambut dengan cara yang salah dan bertentangan dengan syarak seperti pesta arak dan sebagainya.sedangkan saudara-saudara kita di Syria,mesir dan palestin bersabung nyawa hari-hari demi menegakkan kebenaran akan tetapi kita di Negara yang aman dan damai seolah-olah tidak mengambil endah terhadap keamanan yang dikecapi. Apakah erti sesuatu kemerdekkaan kepada mereka.? tepuk dada Tanya selera..

        Oleh itu,  Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden. Marilah sama-sama kita mendoakan saudara-saudara kita di palestin,syria dan mesir dapat mencapai keamanan dan kemerdekaan sepertimana Negara kita..
"Pray for Syria, Pray for Egypt and Pray for Palestin" - Peace no War..~

Tuesday 13 August 2013

Perutusan aidil fitri YDP PMPI AQSA 1434 Hijrah

      Aidil fitri adalah simbol kemenangan ummat islam di sepanjang zaman. Ianya diraikan saban tahun sebagai mercu tanda bahawa islam adalah sebuah cara hidup yang diiktiraf malah mempunyai daulatnya yang tersendiri justeru ia adalah wahyu allah swt tuhan yang maha mencipta untuk mengatur sistematika kehidupan manusia di atas muka bumi ini.
Ia juga adalah manifestasi dari kejayaan ummat islam mengawal diri dari pengaruh nafsu dan syahwat setelah melalui tempoh sebulan di madrasah ramadhan. Ia juga anugerah ilahi buat ummat islam yang bergelar graduasi Ramadhan sebagai insan bertaqwa serta sedia taat dan patuh kepada seluruh titah perintah Allah swt.

     Justeru aidil fitri adalah hari gilang gemilang buat ummat islam untuk mereka lahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah swt tuhan yang maha perkasa lagi maha agong di atas apa jua pemberiannya.

       Ertinya aidil fitri bukan hari memperagakan baju baru, menghidang aneka kuih muih, menunjuk kemegahan duniawi dan sebagainya, tetapi aidil fitri adalah hari penyatuan ummah dengan membawa jiwa menang mengatasi penguasaan nafsu dan segala ejennya. Hari yang meletakkan ummat islam sedar serta insaf bahawa mereka tidak selayaknya menjadi ummat yang lemah dibelasah musuh, tetapi sedia bangkit menjulang izzah dan himmah 
mempertahankan maruah islam dengan tenaga, harta, darah dan nyawa sebagai taruhan.
Laungan takbir , tahmid dan tasbih di pagi syawal adalah pengisytiharan bahawa islam adalah agama  suci yang bebas dan merdeka dari pengaruh syirik, maksiat dan mungkar sekaligus meletakkan penganut dan pejuangnya di suatu tempat yang mulia dan tinggi martabatnya.
Aidil fitri adalah satu deklarasi islam bahawa semua penganutnya mesti bangkit menyatakan ketauhidan mereka kepada allah swt dan mengisytiharkan kesediaan untuk mempertahankan aqidah islamiyah meskipun berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran dan rintangan di sepanjang zaman.

          Aidil fitri adalah satu referundum ummah untuk menyatakan sokongan dan dokongan yang padu terhadap perjuangan mendaulatkan islam guna menyelamatkan ummah agar tidak menjadi mangsa belasahan musuh - musuh Allah serta terperangkap dalam cara hidup yang memesongkan mereka dari jalan yang benar.
Aidil fitri adalah satu resolusi penyatuan ummah berasaskan kalimah toyyibah sebagai tali agama Allah yang kukuh. Menyatukan ummah melewati sempadan bangsa, pemikiran dan geografi bersendikan semangat kunjung mengunjung, maaf bermaafan di antara satu sama lain.

         Aidil fitri adalah satu sumpah ikrar bahawa kita sebagai muslim yang beriman kepada Allah swt. Berkewajipan untuk meneruskan perjuangan rasulullah saw membina tamadun ummah dengan membebaskan mereka dari perhambaan sesama hamba agar menjadi  hamba  Allah yang taat, membebaskan mereka dari kezaliman ideologi ciptaan manusia kepada keadilan islam yang diwahyukan oleh Allah dan membebaskan mereka dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat yang dijanjikan Allah kepada mereka yang soleh.
Aidil fitri adalah satu memorundum ummat islam kepada seluruh dunia dan isinya bahawa islam adalah rahmat Allah swt buat semua. Membawa agenda menyelamatkan manusia dari kebinasaan dan kemusnahan angkara kejahilan manusia tanpa agama. Ia adalah cara hidup untuk diamal bukan ditolak. Ia adalah agama untuk dianut bukan dimusuhi.

            Sempena aidil fitri 1434 ini, marilah kita menghayati semangat aidil fitri menurut perspektif yang benar dan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat, justeru aidil fitri tidak boleh dicemarkan dengan kelalaian dan kealpaan, keangkuhan dan kemegahan, kemewahan dan kesombongan. Sebaliknya aidil fitri mesti diserikan dengan kesyukuran dan keinsafan, kesedaran dan penghayatan.

            Khususnya kepada seluruh mahasiswa/wi, jadikan aidil fitri kali ini lebih bermakna dengan meletakkan ia sebagai noktah bermula untuk kita berubah menjadi insan yang lebih  baik dari semalam, lebih dekat dengan Allah dan lebih semangat untuk terus berjuang membebaskan minda dari terjajah oleh pemikiran materialistik dan gaya hidup yang diselubungi dosa dan noda.

             Salam aidil fitri dari saya buat semua sahabat-sahabat seperjuangan dan khusus buat pimpinan Persatuan Mahasiwa/wi Pengajian Islam Al-Quran dan As-Sunnah (PMPI AQSA). Saya memohon kemaaafan di atas kekhilafan sepanjang saya memegang amanah dan tampuk pimpinan pada sesi kali ini. Sebagai seorang yang akan bergraduasi dari Maahad tarbiyaah ramadhan ini , sama-samalah kita meningkat ketaqwaan dan keimanan kita. Teruskanlah berjuang. Kerana perjuangan ini masih panjang dan tidak pernah selesai hingga kita bertemu Allah kelak. Bercita-citalah untuk menjadi syuhada’ dijalan Allah. Janganlah terasa penat dalam perjuangan . Percayalah rehat seorang daie itu di syurga Allah nanti. .Salam aidil fitri al mubarak. Minal a'idin wal faaizin daripada saya Mohamad Faris bin Nordin Yang Di-Pertua Persatuan Mahasiswa/wi Pengajian Islam Al-Quran Dan As-Sunnah.

(tulisan gerak2)

snow



~Aktiviti Berjalan~



Selamat Datang ke Blog AQSA UniSZA. Kami ingin mengucapkan selamat menghadapai peperiksaan akhir semester, bittaufiq wannajah! شكرًا . :)