Sesungguhnya mustahil Allah menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia sehingga sekecil-kecil sekalipun pasti ada manfaatnya. Salah satu makhluk Allah yang sering kali kita menganggap ia sebagai serangga perosak adalah semut. Tetapi, kita perlu fikir dan mengambil I’brah mengapa Allah jadikan semut. Pasti ada mesej atau signal daripada Allah yang perlu diambil peringatan oleh hamba-Nya. Kisah belajar tawakal daripada semut ini berlaku daripada komunikasi antara Nabi Sulaiman a.s. dengan seekor semut. Ini kisahnya…
Suatu hari Nabi Sulaiman a.s. bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebesar sebiji gandum. Lalu Nabi Sulaiman a.s. memasukkan semut tersebut di dalam satu botol dengan diletakkan bersamanya gula sebesar sebiji gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup. Cukup tempoh setahun, mulut botol itu pun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman a.s. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar sebiji gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut. Nabi Sulaiman a.s. bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebiji gandum? Semut menjelaskan bahawa jika di luar botol rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu. Tetapi apabila dikurung oleh manusia ( Nabi Sulaiman a.s. ) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan keprihatinan manusia. Mana tahu, kalau-kalau manusia itu lupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan jadi padanya?
Maksudnya, semut lebih yakin dengan jaminan Allah ketika di luar botol berbanding dengan jaminan manusia ketika berada dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah semut mengambil langkah berjimat cermat dengan hanya memakan separuh sahaja daripada apa yang diperlukan untuk tempoh setahun supaya jika berlaku sesuatu di luar jangkaan ia dapat bertahan. Inilah sifat tawakal dan ikhtiar yang kita boleh pelajari daripada semut. Jangan sekali-kali bergantung pada sesama makhluk dalam soal rezeki. Bergantunglah pada Allah… (~.^)
No comments:
Post a Comment