Aidil fitri adalah simbol
kemenangan ummat islam di sepanjang zaman. Ianya diraikan saban tahun sebagai
mercu tanda bahawa islam adalah sebuah cara hidup yang diiktiraf malah
mempunyai daulatnya yang tersendiri justeru ia adalah wahyu allah swt tuhan
yang maha mencipta untuk mengatur sistematika kehidupan manusia di atas muka
bumi ini.
Ia juga adalah manifestasi
dari kejayaan ummat islam mengawal diri dari pengaruh nafsu dan syahwat setelah
melalui tempoh sebulan di madrasah ramadhan. Ia juga anugerah ilahi buat ummat
islam yang bergelar graduasi Ramadhan sebagai insan bertaqwa serta sedia taat
dan patuh kepada seluruh titah perintah Allah swt.
Justeru aidil fitri adalah
hari gilang gemilang buat ummat islam untuk mereka lahirkan rasa syukur yang
tidak terhingga kepada Allah swt tuhan yang maha perkasa lagi maha agong di
atas apa jua pemberiannya.
Ertinya aidil fitri bukan
hari memperagakan baju baru, menghidang aneka kuih muih, menunjuk kemegahan
duniawi dan sebagainya, tetapi aidil fitri adalah hari penyatuan ummah dengan
membawa jiwa menang mengatasi penguasaan nafsu dan segala ejennya. Hari yang
meletakkan ummat islam sedar serta insaf bahawa mereka tidak selayaknya menjadi
ummat yang lemah dibelasah musuh, tetapi sedia bangkit menjulang izzah dan
himmah
mempertahankan maruah islam dengan tenaga, harta, darah dan nyawa
sebagai taruhan.
Laungan takbir , tahmid dan
tasbih di pagi syawal adalah pengisytiharan bahawa islam adalah agama suci yang bebas dan merdeka dari pengaruh
syirik, maksiat dan mungkar sekaligus meletakkan penganut dan pejuangnya di
suatu tempat yang mulia dan tinggi martabatnya.
Aidil fitri adalah satu
deklarasi islam bahawa semua penganutnya mesti bangkit menyatakan ketauhidan
mereka kepada allah swt dan mengisytiharkan kesediaan untuk mempertahankan
aqidah islamiyah meskipun berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran dan rintangan
di sepanjang zaman.
Aidil fitri adalah satu
referundum ummah untuk menyatakan sokongan dan dokongan yang padu terhadap
perjuangan mendaulatkan islam guna menyelamatkan ummah agar tidak menjadi mangsa
belasahan musuh - musuh Allah serta terperangkap dalam cara hidup yang
memesongkan mereka dari jalan yang benar.
Aidil fitri adalah satu
resolusi penyatuan ummah berasaskan kalimah toyyibah sebagai tali agama Allah
yang kukuh. Menyatukan ummah melewati sempadan bangsa, pemikiran dan geografi
bersendikan semangat kunjung mengunjung, maaf bermaafan di antara satu sama
lain.
Aidil fitri adalah satu
sumpah ikrar bahawa kita sebagai muslim yang beriman kepada Allah swt.
Berkewajipan untuk meneruskan perjuangan rasulullah saw membina tamadun ummah
dengan membebaskan mereka dari perhambaan sesama hamba agar menjadi hamba
Allah yang taat, membebaskan mereka dari kezaliman ideologi ciptaan
manusia kepada keadilan islam yang diwahyukan oleh Allah dan membebaskan mereka
dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat yang dijanjikan Allah kepada
mereka yang soleh.
Aidil fitri adalah satu
memorundum ummat islam kepada seluruh dunia dan isinya bahawa islam adalah
rahmat Allah swt buat semua. Membawa agenda menyelamatkan manusia dari
kebinasaan dan kemusnahan angkara kejahilan manusia tanpa agama. Ia adalah cara
hidup untuk diamal bukan ditolak. Ia adalah agama untuk dianut bukan dimusuhi.
Sempena aidil fitri 1434 ini,
marilah kita menghayati semangat aidil fitri menurut perspektif yang benar dan
tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat, justeru aidil fitri tidak
boleh dicemarkan dengan kelalaian dan kealpaan, keangkuhan dan kemegahan,
kemewahan dan kesombongan. Sebaliknya aidil fitri mesti diserikan dengan
kesyukuran dan keinsafan, kesedaran dan penghayatan.
Khususnya kepada seluruh
mahasiswa/wi, jadikan aidil fitri kali ini lebih bermakna dengan meletakkan ia
sebagai noktah bermula untuk kita berubah menjadi insan yang lebih baik dari semalam, lebih dekat dengan Allah
dan lebih semangat untuk terus berjuang membebaskan minda dari terjajah oleh
pemikiran materialistik dan gaya hidup yang diselubungi dosa dan noda.
Salam aidil fitri dari saya
buat semua sahabat-sahabat seperjuangan dan khusus buat pimpinan Persatuan
Mahasiwa/wi Pengajian Islam Al-Quran dan As-Sunnah (PMPI AQSA). Saya memohon
kemaaafan di atas kekhilafan sepanjang saya memegang amanah dan tampuk pimpinan
pada sesi kali ini. Sebagai seorang yang
akan bergraduasi dari Maahad tarbiyaah ramadhan ini , sama-samalah kita meningkat
ketaqwaan dan keimanan kita. Teruskanlah berjuang.
Kerana perjuangan ini masih panjang dan tidak pernah selesai hingga kita
bertemu Allah kelak. Bercita-citalah untuk menjadi syuhada’ dijalan Allah.
Janganlah terasa penat dalam perjuangan . Percayalah rehat seorang daie itu di
syurga Allah nanti. .Salam aidil fitri al mubarak.
Minal a'idin wal faaizin daripada saya Mohamad Faris bin Nordin Yang Di-Pertua
Persatuan Mahasiswa/wi Pengajian Islam Al-Quran Dan As-Sunnah.